Sebat

March 3rd, 2010 • Noor Amin AhmadKolum, Lita'arafu • 186 views
Tags: , , , § 2 Comments

islam-is-not-the-enemyBaru-baru muncul semula isu ‘hukum Islam’ dalam wacana ruang awam di Malaysia. Ia berpunca daripada hukum sebat sehingga enam (6) rotan kepada tiga gadis yang mengaku berzina. Sebelum ini juga hingar isu sebat Kartika yang masih tertangguh.

Seperti biasa, ada yang bersetuju dan ada yang mempertikai. Sambil kedua-dua pihak memanjangkan hujah sokongan, terselit juga ad hominem yang ditandai dengan kata “Islam ekstrim” dan “Islam liberal”. Sebelum ini, saya telah menulis artikel “Membebaskan Wacana”, justeru elok saya tegaskan semula sikap sebenar dalam hal ilmu iaitu “dengar apa yang dikata, bukan siapa yang berkata”.

Kelompok bersetuju berhujah bahawa ia ada dalam peruntukan undang-undang Syariah di Malaysia. Bahkan ada tokoh agama bertaraf mufti serta pengikut pandangannya berhujah dengan maksud: “nasib baik empat atau enam, kalau ikut Islam 100 sebatan”. Saya tidak pasti sama ada mereka nak memaksudkan sebatan yang telah dilakukan, empat atau enam itu sebagai tidak mengikut Islam. Jika jawapannya tidak, maka saya tidak mengerti sandaran sokongan mereka itu adalah satu sikap patuh kepada agama atau sikap menunjukkan autoriti. Hujah bahawa ia menzalimi wanita – khususnya dalam kes rogol – tidak boleh dipandang enteng.

Tariq Ramadan, cucu kepada Hassan al-Banna – tokoh gerakan Ikhwanul Muslimin yang sangat berpengaruh di kalangan gerakan Islam sedunia – sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan kontroversi, namun mempunyai meritnya tersendiri. Beliau menggesa umat Islam “penggantungan panggilan perlaksanaan hudud atas nama kemanusiaan”. Panggilan beliau disambut ramai tokoh Islam yang pro dan kontra. Hujah asas Tariq Ramadan ialah situasi negara dan umat Islam tidak cukup untuk memberikan gambaran keadilan kepada usaha ini.

Kebetulan saya menemukan apa yang diungkap Tariq Ramadan ini saat menonton filem adaptasi novel, The Kite Runner – antara lain menonjolkan permasalahan masyarakat di Afghanistan pasca penjajahan Rusia dengan paparan rejaman batu kepada pasangan yang ditangkap berzina di sana.

Dalam proses yang berlangsung di peringkat antarabangsa ini, saya gembira sekali melihat bagaimana santunnya masyarakat di luar negara berbeza pandangan. Ia amat jauh dengan realiti yang dipamerkan di Malaysia.

Saya selalu menyebut bahawa ilmuan Islam zaman lampau cukup takut pandangan mereka diangkat sebagai autoritatif, tetapi di Malaysia kita ada kumpulan ilmuan Islam yang seakan ‘memaksa’ pandangan mereka diangkat sebagai paling autoritatif. Jika tidak cukup kuat memanggil khalayak, maka ed hominem akan ditonjolkan dengan label ‘Wahabi’, ‘Liberal’, ‘Fundamentalis’ dan sebagainya.

Saya melihat wacana yang muncul dari isu sebat ini adalah apa yang boleh dinisbah kepada Dilema Euthyphro dalam Dialog Plato berkaitan soalan Sokrates (atau dalam bidang perundangan dikenali dengan istilah Sokratik).

Sebilangan kenalan saya yang berpeluang menyambung pengajian di luar negara dan dikenali di Facebook berpendapat persoalan ini sama dengan persoalan “anak ayam dan telur ayam, yang mana datang dulu”. Tetapi saya menganggap ia tidak begitu tepat.

Saya sering mengungkap dilemma ini dengan persoalan “adakah sesuatu itu adil maka ia Islam atau sesuatu itu Islam maka ia adil?”. Saya beranggapan wacana yang muncul antara kumpulan yang dianggap ‘muslim ekstrim’ dan ‘liberalis’ ini bersangkutan dengan Dilema Euthyphro ini. Maksud saya, kumpulan yang dianggap ‘muslim ekstrim’ berpandangan sebat ada dalam teks rujukan muslim – al-Quran dan sunnah (maksud saya secara tepatnya hadis dan sirah), justeru ia wajib dilaksanakan sementara ‘liberalis’ berpandangan ‘tafsir teks ini terbuka’ dan hukum sebat dilihat tidak adil dalam realiti semasa, justeru ia tidak mewakili semangat adil sebagaimana dituntut Islam.

Selain itu, pandangan bahawa aspek moral peribadi tidak boleh dihukum juga masuk dalam wacana dan ini akan saya tulis dalam artikel lain.

Justeru, apa yang boleh kita simpulkan di sini ialah:

Muslim harus menegaskan pandangan bahawa minum arak dan zina (merujuk kes bersabit isu sebat di Malaysia) adalah haram di sisi Islam.

Pertikaian yang berlaku ialah interpretasi bersabit hukum dan juga realiti persetujuan-persetujuan moden terkait Perlembagaan dan Undang-Undang. Ini juga berkait dengan tafsiran literal nas dan juga kekayaan tafsiran teks (maksud saya di sini termasuk konteks).

Cuma yang unik di sini ialah Kartika dan tiga wanita dalam kes di Malaysia secara sukarela mohon disebat atas kesalahan mereka. Hal ini mungkin berlaku akibat rasa bersalah dan menganggap ‘memang hukuman dalam Islam itu berbentuk sebatan’ dan menganggap tidak ada pertikaian dalam wacana muslim sendiri berkaitan hukum sebatan ini.

Apa yang boleh saya sebut di sini ialah, isu sebat ini harus dibincangkan dalam kerangka keadilan yang luas dan terbuka.

Untuk hal yang telah dan sedang berlaku:

1) Umat Islam harus berhenti mengatakan sebat empat atau enam kali itu tepat dengan kehendak Islam. Mengusulkan 100 juga tidak mungkin jika ia tidak ada dalam peruntukan Undang-Undang Syariah di Malaysia. Kita tidak harus menafikan bahawa wujud hukum syariah di negara-negara muslim tertentu dan wujud penolakan oleh kumpulan pendokong syariah bahawa ia benar-benar cukup untuk mewakili ‘kehendak negara Islam secara menyeluruh’.

2) Kumpulan liberal juga harus berhenti mempertikai agensi agama kerana ‘mangsa’ memberi persetujuan untuk disebat. Mengatakan ia tidak tepat dan itu wajar dan harus disertakan dengan pandangan balas yang lebih daripada sekadar “bercanggah dengan Hak Asasi Manusia”. Kita harus mengakui bahawa memang terdapat kelompok muslim menolak Hak Asasi Manusia dan ada kewajaran menuntut penjelasan kelompok muslim ini juga.

3) Semua pihak yang berasa isu ini penting harus sedia duduk dan berlapang dada membincangkannya secara objektif. Pandangan ilmuan Islam yang dihormati oleh kedua-dua pihak juga boleh dimajukan dengan membawa mereka hadir berdialog.