Sains Islam, atau Pengislaman Ilmu, atau Pengislaman Sains, sering saja menarik kilasan, yang kadang-kala menggiring konotasi tertentu pada khalayak. Tapi, mungkin bagi sebahagian agamawan dan pekerja agama, mereka merasa terbuai dengan istilah ini.
Tapi, agama tidaklah seringkas itu. Memang, agama akan tampak jengkel bila disorot dari kaedah pemadanan dengan pengetahuan barat semata-mata. Apatah lagi, itulah kerja yang cukup seronok dilakukan oleh kalangan agamawan dan para pekerja agama tersebut. Namun, bila agama berada di tangan saintis-filsuf, memang ternyata berbeza. Agama dan sains, dari satu citra adalah sebuah republik, yang sudah tentunya punya kesaratan agenda. Jadi, apakah sebenarnya agenda Sains Islam ini? Wawancara Ummahonline.com menerusi mel-e bersama Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir, pensyarah sains matematik UKM ini ada muhasabahnya.
Dari sudut bahasa, apa bezanya sains, ilmu, al-’ilm, knowledge, science, dan Scientia? Apakah terjemahan yang tepat untuk “Islamization of knowledge” yang dianjurkan oleh Ismail al-Faruqi?
Secara umumnya, tiadalah maksud yang agak berbeza berkenaan istilah-istilah yang datang dari tiga kebudayaan itu, iaitu Rom (scientia/science/sains), Islam (al-’ilm/ilmu) dan Inggeris (knowledge). Semua perkataan tersebut merujuk kepada perkataan Melayu “(penge)tahu(an)”. Namun, kalau diambil secara mengkhusus, malah mungkin secara falsafah, memanglah sedikit sebanyak berbeza. Ada istilah yang merangkum hal-hal metafizik dan ada pula yang hanya hal-hal fizis dan alamiah.
“Islamization of knowledge” paling tepatnya, saya rasa, adalah “pengIslaman sains/pengetahuan”. Tapi masih boleh guna masukkan “ilmu” kalau merujuk kepada ilmu-ilmu semasa sahaja.
Bagaimana sejarah dan kemunculan gagasan Pengislaman Ilmu? Apakah peranan dan sumbangan Sayyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dalam gagasan ini? Dan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Pengislaman Ilmu, atau Sains Islam ini?
Gagasan tersebut bermula tatkala Persidangan Pertama Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977. Kini telah berlanjutan kepada persidangan yang ke-6, yang terakhir di Afrika Selatan. Al-Attas mendakwa dalam bukunya “Islam and Secularism” bahawa beliaulah yang pertama menukilkan gagasan tersebut. Namun, yang popularnya adalah gagasan yang diasaskan oleh Ismail al-Faruqi menerusi bukunya “Islamization of Knowledge” terbitan IIIT. Sayyed Hossein Nasr pada peringkat awal lebih menumpukan kepada hal-hal berkaitan bukti sejarah dalam Tamadun Islam yang menyokong gagasan tersebut. Tema sejarah ini juga diikuti oleh muridnya Osman Bakar, dan murid kepada Osman Bakar, iaitu Mat Rofa Ismail dan Abdul Latif Samian. Kalau tak silap saya, berdasarkan beberapa buku yang telah saya telaah pada tahun 1990-an dulu, PengIslaman Ilmu/Sains merujuk kepada gerakan mentafsirkan Ilmu/Sains semasa kini agarnya selaras dengan Falsafah Ilmu/Sains Islam, yang bertunjangkan kepada Al-Quran dan Hadith. Istilah yang lebih mengelirukan itu, iaitu Sains Islam, juga sepatutnya bermaksud takrif demikian, tapi banyak kali disalahertikan kepada merujuk hanyalah hal-hal berkaitan ilmu-ilmu yang diajarkan di Fakulti Pengajian Islam, atau ilmu-ilmu Fakulti Pengajian Islam yang diajarkan kepada mahasiswa/i fakulti yang lain. Itulah keherotan pengertian yang kini tampak berlaku di UIAM, USIM, KUIS dan beberapa institusi pendidikan tinggi yang lain.
Apakah Pengislaman Ilmu cuba melakukan pemadanan sains dan Islam sepertimana yang dilakukan oleh Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal, dan kalangan ‘Bucaillisme’ yang lain? Sebab, terdapat kecenderungan di kalangan ini yang mendakwa bahawa banyak penemuan teori-teori besar adalah milik asal Islam. Ini dapat kita lihat keseronokan mereka yang mendakwa teori dentuman besar, teori kenisbian, dll adalah Islamik dan serasi dengan al-Qur’an. Apakah begitu? Atau, ini satu perampasan identiti penemuan Sains Barat di sebalek kemalasan/kelambatan umat Islam untuk menyelidik? Atau juga, bukan kedua-duanya? Atau, bagaimana?
Kerja-kerja yang memadankan sains semasa dengan (sains) Islam tersebut memanglah perlu pada peringkat permulaannya sahaja. Itu lebih baik daripada hanyalah menggali sejarah sains Islam. Sebab, sekurang-kurangnya sudah diusahakan mentelaah secara umum/popular tentang sains semasa, yang tidak langsung dilakukan oleh sejarawan sains Islam. Tapi, kemudiannya kajian-kajian teliti haruslah dilakukan terhadap kedua-dua data tersebut sehinggalah boleh ditunjukkan yang sains semasa itu selaras dengan (sains) Islam. Ini sebenarnya, kalau ditelusuri, memerlukan seseorang menilai, memperbaiki, mengkritik malah mungkin menghapus juzuk-juzuk sains semasa agar selaras dengan maklumat-maklumat dalam al-Quran. Kerja-kerja inilah yang tidak dilakukan oleh golongan Bucaillisme. Tapi, tidak cukup orang juga untuk lakukan kerja-kerja sukar itu.
Bukankah rahmat teknologi yang kita nikmati dewasa ini adalah hasil daripada kekayaan ilmu yang diolah dari Tamadun Barat? Dan ternyata, Islam menerusi ummatnya tidak dilihat pun dapat menyaingi kemajuan Barat tersebut. Malah, kita sentiasa mengekorinya saja. Jadi, bukankah kita hanya menumpang/menikmati kelebihan sains dari Barat, di mana Sains Islam tidak pun dapat menawarkan apa-apa teknologi yang menarik pada hari ini?
Semua itu berpunca daripada tidak cukupnya tenaga untuk melakukan kerja-kerja lanjutan menyelaraskan sains semasa dengan (sains) Islam. Tenaga-tenaga yang adapun masihlah terpesona dengan penemuan-penemuan ala Bucaillisme. Saya percaya bahawa persoalan-persoalan dasar berbentuk metafizik, ontologi, epistemologi dan logik, yang mendasari sains semasa kini masihlah boleh diubah agar mengikuti sains Islam. Contohnya adalah kegagalan Frege-Russell dan Hilbert meletakkan Matematik Tulen agar berteraskan Logik. Persoalannya, apakah Logik yang baru, yang lebih baik daripada Logik lama, untuk membangunkan Matematik Tulen? Logik Binaan/Konstruktif Brouwer nampaknya beberapa kali menjawab persoalan tersebut, tapi gagal juga, apabila berjaya ditunjukkan bahawa Logik Brouwer itu hanyalah Logik Russell peringkat kedua. Soalan yang langsung di sini adalah apakah Logik Islam?
Kenapa kita sepertinya tidak pernah dengar terdapat sains yang cuba dikaitkan dengan agama, atau unsur-unsur kepercayaan lain. Mithalnya, tidak pernah kita mendengar adanya Sains Lao-Tze, Sains Buddha, Sains Hindu, atau Sains Zoroaster, dll. Bahkan, Barat tidak pula menamakan sains mereka yang hebat pada hari ini sebagai Sains Kristian. Tapi, Islam atau muslim umpamanya, begitu ‘istimewa’ dan ‘terhegeh-hegeh’ untuk melekatkan sains dengan agama. Jadi, mengapa sains perlu disandarkan kepada Islam, yang jelas sesuatu tindakan yang tidak dilakukan oleh agama dan kepercayaan lain? Benarkah begitu?
Ketika Islam dahulu adalah penaung kepada ilmu dunia, mereka tidak menamakannya sebagai Sains Islam. Ketika itu, Eropah pula memanggil sains mereka sebagai Sains Kristian. Contohnya adalah buku Summa Theologia karangan St Thomas Aquinas, yang merupakan adaptasi kepada buku Ilya Illumuddin karangan al-Ghazzali. Apabila ditanyakan kepada beliau oleh pengikut-pengikut beliau tentang hal ini, beliau mengatakan bahawa beliau sedang mengKristiankan Ihya. Juga buku Divine Comedy karangan Dante yang digelar Gospel ke-5 itu, yang merupakan versi Kristian bagi hadith-hadith Isra Mikraj. Adalah salah mengatakan bahawa Barat akan menamakan sains mereka sebagai Sains Kristian, sebab Barat bukanlah Kristian. Barat Moden dan Barat Pascamoden adalah pembebasan daripada Kristian, Yahudi dan apa-apa bentuk agama, malah metafizik. Zaman Thomas Aquinas, mereka tidak menggelar diri mereka sebagai Moden.
Peletakkan nama tersebut adalah untuk membezakan dua juzuk sains yang jelas berbeza. Barat akan mahu sains mereka dipanggil sains sekular. Sebab itulah yang sebenarnya dilakukan oleh mereka, iaitu membuang juzuk metafizik dalam sains. Itu sebab, kalau kita mahu sains mereka, kita kena gelar negara kita ini Malaysia Sekular, atau seperti Turki Sekular. Dalam negara sekular, agama boleh juga wujud, tapi boleh hanyalah berperanan sebagai peribadatan sahaja. Macam kitalah sekarang, kejap masuk makmal mengesahkan Teori Evolusi Darwin yang menentang kewujudan Tuhan, kemudian bila waktu sembahyang Zuhur pergi Masjid UKM untuk sembahyang, lepas tu masuk makmal semula sambung kerja. Agama pada kita hanyalah sembahyang, puasa, zakat, haji dan beberapa perkara mudah yang lain. Di masa Aristotle dulu, agama Yahudi juga wujud. Tapi apa yang dimaksudkan oleh sarjana Yahudi-Yunani bernama Philo dari Alexandria tentang Sains (Yahudi) tidaklah sama dengan apa yang dimaksudkan oleh Aristotle tentang Sains (Yunani). Di Amerika sekarang, sains yang cuba dibangunkan oleh saintis kristian dinamakan Sains Kristian, saingan kepada Sains Sekular. Tapi, namanya selalu sahaja dipanggil sebagai Sains Penciptaan.
Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1″ dalam Islam dengan nombor “1″ dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?
Beberapa hal berkaitan mekanisma menjelaskan sesuatu perkara yang menyentuh matematik, statistik, fizik, kimia, sains komputer, biologi dll, dan itu semua mungkin sahaja tidak berbeza dalam sains sekular dan sains agama/theis (Islam, Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dll). Itulah maksud sekular itu, iaitu memahami mekanisma sesuatu sehinggakan boleh dijelaskan bahawa mekanisma itulah sahaja yang wujud. Sebelum daripadanya tiada, dan kalaupun ada, tidak mengambil bahagian dalam mekanisme itu. Itulah maksud Darwin, Newton, Frege dan lain-lainnya. Kalangan ahli Matematik Barat Moden, kalau tidak silap saya, hanyalah Leibniz yang tidak sekular menerusi notanya bertajuk “Metaphysical foundation of Mathematics”. Sains Theis/Agama mestilah berbeza dalam hal ini. Maksudnya ada peranan yang jauh lebih teras berbanding hanyalah mekanisma. Tapi boleh sahaja dimaksudkan, tambah sahajalah kepada mekanisma itu, maka sains sekular menjadi sains theis/agama. Namun, dalam satu dua kes terpencil, bolehlah semudah itu, namun secara umumnya tidaklah sedemikian. Teori Penciptaan Kristian bukanlah hanya menambahkan Pencipta kepada Teori Evolusi Darwin. “Peranan yang dasar” inilah beserta “mekanisma”nya itulah yang perlu diusahakan dikaji dalam Sains Agama.
Definisi sains yang dikemukakan oleh Dr. Shaharir Mohamad Zain dalam Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains ialah, “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.” Jadi, adakah Pengislaman Ilmu bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan? Tapi, bukankah pula sukatan dan kaedah ilmu yang digunakan oleh sains dalam definisi tersebut paling disepakati oleh semua pihak, kerana Sains Barat ternyata sangat empirikal dan mudah dipercayai. Tidak begitu?
Prof Shaharir merujuk kepada makna sains Barat Moden dalam petikan di atas, yang saya panggil mekanisma tadi. Sudah saya nyatakan tadi juga bahawa PengIslaman Sains bukanlah bermaksud secara umumnya melekatkan “metafizik” kepada “mekanisma”. Prosesnya mestilah lebih daripada itu, iaitu menilai dengan jitu kedua-dua aspek tersebut sebelum dikatakan kedua-duanya selaras. Berkaitan kaedah pula, sememangnyalah mudah menyukat sesuatu yang pada peringkat mekanisme sahaja. Itu sebab disepakati umum. Dan amat sukarlah menyukat yang lebih daripada itu, yang metalogik dan intuisi katakan. Isu emperikal ini sebenarnya bukanlah ditimbulkan oleh Yunani mahupun Barat Moden, tetapi yang pertama kali mengusulkannya adalah Ibn al-Haytham. Tetapi al-Haytham masihlah mendokong Sains Islam, begitu juga Roger Bacon yang menyalin konsepnya tetapi masih mendokong Sains Kristian, berbanding Francis Bacon yang menyalinnya tetapi menukilkan Sains Sekular.
Jadi, apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya? Dan, di mana kerugiannya jika kita melanggan Sains Barat?
Sains Islam akan memberikan paradigma baru berfikir dan membentuk suatu sains baru kepada masyarakat dunia. Ini sepertimana yang pernah pertama kali dilakukan oleh al-Kindi 1200 tahun yang lepas, dan diteruskan oleh saintis-saintis Muslim lainnya. Jika kita terus melanggan Sains Barat ini, tanpa ada usaha untuk membetulkannya, kerugian paling ketara kepada kita adalah kita akan mengkesampingkan hal-hal yang lebih tinggi daripada hal-hal mekanisma, seperti bahasa, budaya, sistem nilai, agama dan lain-lainnya. Kita sudah nampak ini berlangsung dalam negara kita, apabila kita mengkesampingkan Bahasa Melayu dalam pengajaran Sains, Matematik dan Teknologi di sekolah dan IPT. Sarjana-sarjana Barat sendiri semenjak Kiekergaard telah mengkritik bentuk sains Barat yang dibawakan oleh Hegel, yang beliau katakan sebagai “mengkesampingkan hal-hal kemanusiaan”. Kritik ini diteruskan oleh Nietzsche, Husserl, Heidegger, Sartre, Derrida dll, yang bernaung bawah Gerakan Fenomenologi. Walaupun kritik mereka tidaklah setinggi kritik keagamaan, namun kelihatannya bahawa Sains Barat meminggirkan juga hal-hal kemanusiaan. Metafizik Moden yang dinukilkan oleh Heidegger itu sebenarnya menjawab hal-hal kemanusiaan yang dipinggirkan dalam Sains Moden.
Akhir sekali, apa halangan yang maseh wujud dalam memperkasakan lagi gagasan Pengislaman Ilmu ini?
Halangan utama adalah amat kurangnya tenaga kerja dalam usaha menjayakan agenda ini. Mencari tenaga kerja pula bukanlah mudah, kerana bakal tenaga tersebut sebenarnya terlatih sudah dalam Sains Barat. Apa-apapun usaha mestilah diteruskan bagi mengumpulkan cukup tenaga untuk meneruskan agenda ini.
Baca Lagi:
- Mohammad Alinor Abdul Kadir: Matematik Menembus Aritmetik-Geometri
- Mohammad Alinor Abdul Kadir: Falsafah Cara Terbaik Memahami Ilmu
- Mulla Shadra: Melampaui Metafizik
- Arip Kasmo: Sains Islam Bermasalah!
- Adi Setia: Sains Islam Membangun Harga Diri Muslim
erkkk, saya kira orang bukan Islam (non-muslim) juga ada istimewanya.
setakat oktober 2008, kita ada 6.7 billion orang di atas muka bumi. maknanya, kita ada 6.7 billion orang yang berbeza-beza, dan keistimewaan yang tentunya juga berbeza-beza.
sebaleknya muslim, dengan kebanyakan feel yang kita temui, kerap ‘memburukkan’ agamanya sendiri. sebab itu, mengkritik muslim bukanlah sesuatu yang bersalahan, malahan mungkin dituntut.
islam/atau mana-mana aliran boleh bersikap eksklusif, tapi bukan dalam erti kata menindas inklusif. ASASI pula tidak pernah menindas bukan islam.
dan… contoh terkenal eksklusif dalam islam ialah masjidil haram…
“Tiada apa yang istimewa tentang orang bukan Islam, melainkan dunia.
Dan yang istimewa tentang orang Islam, ialah dunia dan akhirat.”
Kenyataan sebeginilah yang akan menjauhkan lagi orang bukan islam daripada islam.
setuju. kenyataan angkuh dan sombong. tidak hairanlah islam dijauhi oleh masyarakat bukan islam di malaysia ini kerana penganut islam di malaysia ini terlalu angkuh dan sombong. tiada langsung sifat rendah diri penuh kemanusiaan sepertimana Nabi Muhammad s.a.w.
Lihat konteks ayat saya, ada perkataan ‘..dunia.’ Jangan ambil separuh dan tinggal separuh. Itu yang Islam ajar kita.
Jangan mudah menuduh orang Islam angkuh dan sombong, tapi bila dengan bukan Islam, segan-silu dan takut menyatakan kebenaran.
1. Apakah keistimewaan orang bukan Islam di akhirat dalam AlQuran? Itulah yang saya maksudkan, Neraka yang apinya menjulang-julang, bukan hanya untuk umat Islam yang berdosa, tapi khusus atau ‘istimewa’ untuk bukan Islam. Syurga hanya untuk orang Islam setelah menjalani hisab. Apa yang ada dalam AlQuran adalah muktamad. Kita perlu belajar menerima hakikat ini dan memberitahu yang baik dan yang buruk. Sebab itu, ada pemimpin masyarakat India yang keliru apabila dikatakan beliau seorang yang kafir. Sebabnya kita cuma memberitahu kaum kerabat kita sahaja tentang kedahsyatan neraka, tapi kecut dan malu hendak memberitahu tentang neraka dan keburukan menjadi kafir (atau ayat mesranya, ‘bukan islam’) kepada orang bukan Islam.
Maka itu, kalau kita bersikap terbuka dan menyatakan dakwah secara berterus-terang, sama ada kepada orang Islam dan bukan Islam, maka
insya-Allah, guru-guru dan kawan-kawan bukan islam kita tidak akan
merana dalam neraka kelak. Mereka juga, insya-Allah, tidak akan menyalahkan kita di akhirat kelak. Janganlah kita menakut-nakutkan umat Islam, anak-anak dan isteri, orang-orang kampung dan jemaah ceramah sahaja tentang kedahsyatan api neraka. Untuk bukan Islam, kita cuma cerita fasal syurga sahaja.
Jadi berbalik kepada AlQuran sendiri, Abu Lahab, telah ditetapkan azabnya dalam AlQuran semasa dia masih hidup lagi. Begitu juga Abu Talib dalam sebuah hadis.
2. Mungkin jumlah mereka yang ramai, pengetahuan dan kekayaan menjadikan orang bukan islam istimewa pada pandangan kita. Tapi ia tidak bererti di sisi Allah di akhirat. Mungkin teknik berdakwah, tapi ia bukan teknik muktamad.
Lebih baik saya dipanggil angkuh dan sombing daripada takut menyatakan kebenaran. Walau bagaimanapun, Allah jua Yang Maha Pengampun.
Kesimpulannya, kita perlu tengok konteks ayat sebelum membuat teguran. Orang bukan islam memang tiada istimewa selepas mati dan di akhirat masuk neraka; maka masuk islam dengan segera adalah pilihan satu-satunya.
Allah jua Yang Maha Mengasihani.
“Orang bukan islam memang tiada istimewa selepas mati dan di akhirat masuk neraka”
inilah jadinya bila kita ini eksklusif. bila kita eksklusif tidak pernah bercampur-gaul dengan pandangan-pandangan yang berbeza, kita cenderung untuk mengatakan bahawa kita sahaja yang benar. orang lain semuanya salah.
islam tidak punya satu tafsiran sahaja. terdapat banyak tafsiran di dalam islam. kalau islam ini hanya satu tafsiran sahaja sudah tentulah tidak ada aliran-aliran pemikiran dan mazhab yang berbeza-beza.
dan sesungguhnya sama ada seseorang manusia itu masuk syurga atau neraka, semuanya adalah di atas rahmat Allah s.w.t. semata-mata dan bukan kita yang menentukannya. janganlah kita panda-pandai nak menjadi Tuhan dengan menentukan yang si polan A masuk syurga dan si polan B masuk neraka.
Saya berpendapat, Islam adalah utk semua manusia, ianya cara hidup. Jadi tak perlu di-fragment kan dengan label2. Sy berpendapat lagi, Islam bukan hanya yang tercatit dalam Quran, dan kebenaran Quran tak perlu dibuktikan dengan sains. Islam yang saya fahami antara lain adalah adil, aman, harmoni dalam kasih syg maha pencipta alam. Maka islam itu bukan utk org2 bergelar muslim ajer tp utk semua makhluk. Semua kajian adalah ilmu dan ianya dari Allah, Tuhan semesta. Anak kecil keheranan melihat semut2 berderetan pergi dan balik juga adalah kajian ilmu bagi dirinya. Jadi kenapa perlu mengislamkan sesuatu yg sememangnya sudah islam?
Bagi saya, pendapat Abu Dzar berbahaya kepada akidah. Bila anda berkata begitu, sebenarnya anda dan mereka yang anda bergaul, membuat definisi baru untuk orang bukan Islam atau fahaman bukan Islam yang tertentu. Mengingatkan saya akan Kassim Ahm…
Jangan sampai keegoan menghalalkan cara kita.
Seolah-olah syurga ada untuk mereka walaupun bukan Islam. Nauzubillah…….
Sudah terang lagi bersuluh. Setakat ini sahaja ulasan saya, untuk mengelakkan keangkuhan.
Allah sahaja Maha Mengetahui.
Mengapa perlu mengislamkan apa yang telah Islam?
Salah satu yang kita bincangkan adalah Sains. Apakah teori evolusi adalah islamik? Lihat 2 perenggan di bawah:
a. Jika Professor Dawkins, seorang yang ternama dalam teori evolusi moden mengatakan, “Tuhan tidak perlu ada untuk evolusi terjadi” dan “Kalau Tuhan itu ada, ia seorang yang pemalas..” atau
b. Charles Darwin, pakar evolusi klasik, mengatakan Nabi Adam dan Hawa berasal dari beruk, apakah ia islamik?
Maka itulah, adanya keperluan ilmu sains diislamisasikan. Ia bukan sekadar label, tapi lebih kepada teras dan penambahbaikan ilmu itu. Insha-Allah.
Allah jua Maha Mengetahui.
Kecuali Nabi Adam, Siti Hawa dan Nabi Isa, dan pada hari ini bayi tabung uji, semua manusia adalah produk hubungan seks antara lelaki dan wanita yang subur, halal atau haram, rela atau paksa. Manusia tiada upaya memilih ibu bapa, bangsa, warna kulit,rupa, zaman dan bahagian muka bumi yang mana untuk dilahirkan, kedudukan dan taraf sosial. Setelah dilahirkan setiap manusia, untuk memanjangkan umur perlukan kepada empat perkara asas iaitu udara, makanan , pakaian dan tempat tinggal. Udara berada dimana-mana kecuali di dalam air dan angkasa lepas, dan ia juga percuma. Makanan, pakaian dan tempat tinggal perlu diusahakan.
Keperluan manusia kepada makanan( termasuk minuman) menerbitkan industri makanan dan pemakanan. Keperluan kepada
pakaian menerbitkan industri pakaian dan pemakaian. Keperluan kepada tempat tinggal menerbitkan industri perumahan, perhotelan,
rumah tumpangan, asrama-asrama dan wad-wad hospital.
Untuk mendapatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal, kita perlu mempunyai wang yang dijadikan medium pertukaran. Untuk mendapatkan wang kita perlu berkerja. Untuk berkerja kita perlu ada ilmu dan kemahiran. Untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran kita perlu mengadakan industri dan institusi pendidikan.
Industri-industri asas yang berkaitan dengan makanan, pakaian dan tempat tinggal, memerlukan industri dan institusi sokongan,
seperti pengangkutan, ICT, kesihatan, pendidikan, perbankan dan insurans, perlindungan dan pertahanan, sukan dan hiburan, media massa, pemerintahan dan kehakiman.
Setiap manusia tidak akan dapat hidup tanpa tiga perkara asas tersebut. Perbezaannya terletak pada mutu, kuantiti, saiz dan nilai.
Ahli Sains pun memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Mereka juga inginkan wang hasil daripada penyelidikan dan pengorbanan mereka. Oleh kerana mereka tidak percayakan Allah mereka tidak berniat langsung untuk menghubungkan hasil kerja mereka dengan Allah. Orang Islam yang menjadi pelanggan penyelidikan mereka juga tidak dapat hendak menghubungkan perkara berkenaan dengan Allah.
Bagaimana kalau kita buat percubaan berdasarkan manusia itu ukuran kehidupan? Manusia adalah khalifah di muka bumi . Makanan,
pakaian dan tempat tinggal dan semua institusi dan industri yang berkaitan dengannya adalah di bangunkan oleh manusia, untuk manusia. Agama adalah untuk manusia. Bumi ini untuk manusia .
Syurga dan neraka juga untuk manusia. Manusia sahaja yang dianugerahkan akal oleh Allah dan dengannya kita mengenali kehidupan.Manusia yang merwarnakan, memakmurkan atau menjahanamkan bumi.Haiwan, tumbuh-tumbuhan dan segala apa yang ada di atas perut bumi dan di dalamnya adalah untuk manusia.
Kita bercakap tentang negara kita kita bercakap manusia dan tindak tanduk mereka. Itulah lebih kurang penjelasan tentang ‘manusia itu ukuran kehidupan’. Boleh diperbaiki lagi penjelasannya pada kesempatan yang lain.
Jirim di definasikan sebagai apa sahaja yang mengisi ruang alam ini.Jirim terbahagi kepada tiga keadaan iaitu pepejal, cecair dan gas.
Setiap jirim adalah tersusun daripada atom-atom. Atom -atom pula
tersusun daripada proton, neutron dan elektron dan mungkin ada lagi
benda yang lebih kecil daripada elektron. Apa yang jelas setiap jirim dalam alam ini bersusun, di kiri, di kanan, di atas, di bawah, di depan,
di belakang, di luar ,di dalam.
Kejadian di dalam alam diukur berdasarkan ruang dan waktu. Waktu di ukur berdasarkan pusingan dan peredaran bumi mengelilingi matahari.Kerana adanya pergerakan maka adanya perubahan kedudukan pada ruang dan waktu.Perubahan juga berlaku dari segi
rupa, bentuk, warna, tekstur, saiz dan kesan. Untuk membezaan antara dua tempat, rupa, bentuk dan yang lain-lain itu kita perlu menggunakan istilah positif dan negatif. Baik positif dan buruk negatif.
kanan positif dan kiri negatif.
Tiap-tiap perubahan ada susunan dan setiap susunan ada perubahan. Kita boleh gabungkan menjadi susun-ubah.
Ilmu pengetahuan dalam apa kategori pun, kita susun dulu dalam minda kita sebelum kita susunubah dalam bentuk suara percakapan
atau bentuk ayat-ayat.Kita boleh melihat bumi seperti kita melihat bulan kalau kita berpeluang menjadi angkasawan. Oleh kerana kita tidak ada peluang itu kita lihat pada bulan di langit dan bayangkan ia planet bumi yang berkeliaran hampir tujuh bilion manusia di atasnya.Nampakkah kita akan politik, agama, ekonomi,
kewangan, pelajaran dan lain-lain. Tentu sekali tidak. Yang boleh kita nampak hanyalah manusia, haiwan, kenderaan dan air yang bergerak. Pokok-pokok hanya bahagian atasnya yang bergerak melainkan ia tumbang di pukul angin atau ditebang manusia.Juga benda ringan yang boleh berterbangan. Perkara abstrak seperti politik dan agama itu kita ketahui adanya berdasarkan susunubah tindak tanduk manusia dalam persekitaran.Masjid adalah sebuah bangunan simbol bukannya agama.
Manusia itu ukuran kehidupan, susunubah adalah hukum alam, dan
kehidupan ini hanyalah gambaran minda adalah tiga perkara yang kita boleh perbincangkan untuk memahami hukum alam ini.Apa yang saya susunubah dalam bentuk perkataan yang menjadi ayat ini bermula dengan gambaran–gambaran yang terbentuk dalam minda saya dahulu. Saya membaca karya-karya di atas pun saya perlu membentuk gambaran dalam minda saya dahulu untuk memahami maksudnya.
Setiap benda dan perkara dalam alam ini ada susunan dan ubahan terhad yang boleh berlaku dan inilah yang dikaji oleh ahli sains. Mereka termenung dan berfikir dengan serius untuk memahami bahan kajiannya. Termenung dan berfikir bermaksud menyusun dan mengubah gambaran dalam minda. Kalau berjaya positif, gagal negatif. Ahli Sains adalah manusia yang mengkaji untuk kepentingan manusia.
Secara ringkasnya inilah yang dapat saya perkatakan untuk kali ini. Sambung lagi waktu lain. Sudah jauh malam.
Assalamualaikum,
Berat untuk dinyatakan tapi hakikatnya Ibnu Maskaweih menyatakan
a. hanya kecerdikan manusia tidak mengatasi kepintaran beruk pada awalnya;
b. beliau tidak maksudkan bahawa evolusi tubuh manusia daripada beruk sebagaimana Charles Darwin;
Walaupun idea tersebut berbeza dengan Darwin, manusia mempunyai kemampuan kecerdasan atau kepintaran yang jauh berbeza dengan beruk. Biarpun Ibnu Maskawaih seorang ilmuan Islam, tidak semua ilmunya wajar diterima.
Pada pandangan saya, teori bahawa:
c. evolusi manusia secara langsung daripada beruk atau
d. manusia berkongsi keturunan dengan cimpanzi
adalah kedua-duanya sesat, tidak logik dan tidak mengaitkan kesyukuran dengan Ilahi.
sains tu ilmu yg dijumpai oleh manusia daripada pemahamannya terhadap alam (selain allah namanya alam). islam tu maksudnya selamat . sedangkan islam mendefinasikan manusia ialah orang yang masuk syurga bukan orang yang menghuni neraka! j adinya sains islam itu….LU PIKIRLAH SENDIRI !
….dan islam itu mengikut definasi allah beri dalam alquran bukan mengikut mana mana undang undang atau fahaman. masaalahnya diri sendiri tak tahu langsong aku ni orang islam ke tidak ? islam dalam kad pengenalan tu bukan cop mohor kesyurga…….!!!
Hakikatnya, keistimewaan orang bukan islam atau orang kafir ialah duniawi semata-mata. Justeru mereka perlu mendalami Islam dan masuk Islam segera agar kehidupan mereka bahagia dunia(mungkin 100 tahun) dan akhirat(berbilion tahun dan kekal abadi).
Bagi ASASI, ia adalah organisasi yang inklusif dengan objektif tersendiri. Syabas. Tapi penciptaan syurga dan neraka juga telah ditetapkan visi dan misinya oleh Allah Taala kerana Allah Taala itu Tuhan Yang Maha Bijaksana. Orang bukan Islam perlu faham bahawa ‘jika tidak masuk Islam, bukan sahaja mereka tidak dapat masuk syurga, malah mereka PASTI masuk neraka. ‘ Neraka ini pula adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Justeru orang Islam perlu menawarkan agama Islam kepada orang bukan Islam, dengan pakej-pakej yang telah dibenarkan Allah Taala sama ada:
1. kehidupan yang bahagia dan menyeronokkan di syurga HANYA (ekslusif) untuk orang
Islam, atau
2. keadaan yang mengerikan di neraka inklusif untuk SEMUA ORANG BUKAN ISLAM dan sebahagian orang Islam yang berdosa.
Kelemahan segelintir orang Islam atau kekayaan orang bukan orang Islam bukanlah alasan bijak untuk tidak menyembah Allah Taala, satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Alasan untuk tidak masuk Islam ini adalah alasan Pak Pandir yang menyebabkan orang bukan Islam senang hanya di dunia sahaja. Pelarian daripada Islam hanya menjanjikan azab neraka buat mereka yang begitu menyakitkan dan menghilangkan nikmat kehidupan dunia.
‘Supaya kamu beri peringatan kepada kaum(orang bukan Islam) yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai. Demi sesungguhnya telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman. ‘ (AlQuran Yang Mulia, Surah Yaassin, ayat 6-7)
Bacalah AlQuran Yang Mulia itu, wahai orang Islam dan bukan Islam. Apapun pegangan anda kini dan seterusnya, tugas saya hanya menyampaikan. Insya-Allah.