Di sini, tak usah kita berbicara tentang polemik, atau tentang narasi-narasi kecil. Kita tak mahu terperangkap, sepertimana pascamodenisme.
Tapi, apakah itu membuktikan meta-naratif, atau narasi besar maseh penting? Tentu. Narasi besar inilah yang merupakan kelebihan dari falsafah Jerman berbanding falsafah Perancis. Mereka berbicaranya tentang universalia, bukan partikularia. berbicaranya tentang wacana, bukannya polemik. Mudahnya, berbicara tentang Habermas menerusi gagasan diskursethik-nya. Usulan Habermas ini barangkali membantu kita keluar dari kemelut ranting yang sering melekat dalam masyarakat kita dewasa ini. Tapi persoalannya, ada apa pada Habermas dengan diskursethik-nya? Inilah “titik penting” untuk kita belajar dari Habermas.
Kita bermula dari sekolah Frankfurt, bagaimana Adorno, Horkheimer dan Marcuse mengalami kebuntuan bagi memecahkan persoalan dalam hubungan manusia sesamanya, dan sesama alam. Sebab itu, akhirnya Sekolah Frankfurt mengalami semacam pesimisme—sama seperti Schopenhauer juga. Mereka mengeluh melihat kebuntuan-kebuntuan, walhal pada Habermas itu berpunca dari kesilapan cara memandang. Selalu dalam Sekolah Frankfurt, wacana setara tak berlaku. Sebab, hubungan antara sesama manusia terbingkai dalam paradigma “subjek dan objek.” Dalam tafsir Nietzsche, ini dinamakan keadaan “kuasa dan yang dikuasai,” atau dalam tafsir Hegel, ini dinamakan keadaan “tuan dan hamba.” Tapi, tafsir inilah masalahnya, kata Habermas.
Lihat saja perbicaraan di Malaysia, sering jatuh dalam konteks ini. Agamawan paling tidak berada pada kedudukan subjek, manakala bukan-agamawan pada kedudukan objek. Satu durian, satu tembikai. Corak sebeginilah yang melahirkan suasana komunikasi yang tak-seimbang, bukan saja di Malaysia, malah di mana-manapun terutamanya di sebuah wilayah yang tak senang dengan perbezaan. Sudahnya, jalan keluar bagi pergelutan Sekolah Frankfurt ini: Adorno memileh seni, manakala Horkheimer memileh “kerinduan pada yang lain”, sementara Marcuse pada cita-cita sebuah “generasi radikal.” Ternyata, Sekolah Frankfurt tak berkesudahan, dan tak menjanjikan harapan. Datang Habermas, muridnya Horkheimer ini, lalu menanyakan, “apakah benar-benar kita mengalami kebuntuan?” Sebenarnya tidak, kata Habermas. Maka, saat inilah kita harus menoleh pada Habermas.
Habermas maseh tetap bermakna, yang kebetulan maseh hidup. Usah jengkel. Sebagai sedikit filsuf Jerman yang bergelumang dalam sains-sosial, Habermas hadhir membawa erti besar dalam kewacanaan, di mana ini sekaligus merungkai masalah komunikasi kita. Biarpun akhir-akhir ini Habermas lebih berminat terhadap wacana agama, tapi sumbangannya dalam kommunikative rationalität (kerasionalan komunikatif) harus dipertimbangkan sebagai muafakat bersama untuk meleraikan persilangan budaya, agama, mazhab, dll. Ini yang sedang berkait dengan Malaysia hari ini. Lalu, Habermas bertolak dari kritikan konsep dari Sekolah Frankfurt yang menurutnya terkekang dalam skema hubungan yang sendeng. Sama ada hubungan manusia dengan manusia, mahupun manusia dengan alam, masing-masing tetap bermula dari pola ketakseimbangan. Melihat semua batasan ini, Habermas meratakan kembali kesendengan paradigma masyarakat ini. Masalah yang ditemui adalah pada komunikasi, bukan pada hubungan antara “subjek dan objek.” Dengan meletak sebuah kerasionalan komunikatif—bukan kerasionalan sasaran—maka Habermas membina sebuah paradigma baru.
Gagasan—yang terkandung dalam Diskursethik: Notizen zu einem Begründungsprogramm serta tanggapan-balas menerusi Erläuterungen zur Diskursethik—ini tersimpul dalam tiga tema utama, iaitu diskursethik (etika wacana), lebenswelt (dunia kehidupan) dan moralprinzip(prinsip moral). Baginya, kerasionalan komunikatif ini merupakan hal mendasar dari segala usaha dialog, dari segala usaha mengharmonikan persilangan dalam masyarakat. Sebab, gagasan ini memanggil kesemua yang terlibat dalam pertelingkahan untuk bersetuju serta duduk dalam satu kesepakatan bersama. “Kaedah berwacana,” inilah tawaran Habermas untuk kemelut yang Malaysia hadapi dewasa ini. Menarik, kesepakatan yang ditawarkan Habermas ini tak dibina atas perasaan, atau dalam bahasa Kant, naluri itu, tapi dari sebuah rasio komunikatif, iaitu rasio (vernunft) juga. Beza rasio dalam perspektif Habermas berbanding Sekolah Frankfurt ialah—khususnya dari Horkheimer—ialah bukan bersifat rasio instrumental. Dalam kerasionalan komunikatif ini, semua peribadi adalah sejajar, semua idea adalah sekata, maka kedudukan seperti “subjek dan objek,” atau dalam keseharian kita “agamawan (arif) dan bukan-agamawan (jahil)” tidak harus berlaku. Kerasionalan komunikatif tajaan Habermas ini tertanam dalam tiga idea dukungan, seperti yang disebut sebelumnya, iaitu diskursethik, lebenswelt, dan Moralprinzip. Namun, tiga tema ini perlu takrif lagi, tentang bagaimana wawasan ini dapat memecahkan kebuntuan kekangan hubungan “agamawan (arif) dan bukan-agamawan (jahil).”
Pertama, bagi diskursethik. Habermas menampilkan empat sendi, iaitu, (1) kejelasan, (2) kebenaran, (3) ketepatan dan (4) kejujuran. Setelah dipenuhi dan dipersetujui—oleh pihak yang terlibat—tentang keempat syarat ini, maka sebuah wacana baru boleh bermula. Pertama, “kejelasan,” yang merujuk kepada kesediaan semua pihak terlibat mengemukakan apa yang mereka fahami. Langkah awal ini penting bagi mengelakkan kesalah-fahaman. Kita tak mahu, sebuah wacana hanya berakhir dari pertikaman, “yang faham aku, yang salah kamu.” Kata hitam-puteh ini harus dinyahkan awal-awal dahulu. Selain itu, sebuah kejelasan juga diperlukan untuk menghakis sebarang a priori. Jika tidak, itu akan lebih mengusutkan, serta gagal menajamkan wacana. Kalau semua ini disepakati, baru kalangan yang terlibat beranjak ke persetujuan kedua, iaitu “kebenaran.” Memang kadang-kadang muak kita mendengar kata kebenaran. Tapi, kebenaran dalam makna komunikatif Habermas ini ada maksudnya, iaitu masing-masing mengemukakan perkara-perkara juga modus-modus untuk diwacanakan. Lalu, perlu ada juga “ketepatan,” iaitu keseimbagan tingkat antara peserta wacana. Selagi tak ada kesetaraan pada normal-normal komunikatif ini, maka kesendengan wacana akan berlaku. Kemudian, terakhir memerlukan “kejujuran,” iaitu masing-masing harus mengakui bahawa setiap mereka tak mempunyai maksud tersembunyi, tidak bertaqiyyah, serta siap untuk menerima semua aturan wacana ini. Setelah empat syarat ini dipersetujui, maka diskursethik boleh dimulai.
Kedua, selain diskursethik, ada juga lebenswelt yang turut mendukung makna kerasionalan komunikatif. Lebenswelt ini adalah kata terkenal dari Husserl, yang merujuk pada fenomenologi. Pernah juga digunakan Heidegger, dan kini Habermas melanjutkannya. Lebenswelt ini bermaksud “dunia-kehidupan,” iaitu masing-masing ada dunia tersendiri. Budaya setiap masyarakat yang terhimpun di dunia ini nyata berbeza. Begitu juga soal agama dan mazhab. Tanpa adanya lebenswelt, kita tak dapat menghuraikan tapak berpijak dalam konteks komunikasi. Sebab, pola komunikasi masyarakat A tentu sekali berbeza dengan pola komunikasi masyarakat B. Ini semua gara-gara lebenswelt mereka yang berbeza. Justeru, dengan lapang-dada setiap peserta wacana untuk tawaduk akan perbezaan lebenswelt, dan ditambah lagi dengan siap mematuhi aturan diskursethik, maka kita boleh bergerak pada kerasionalan komunikatif.
Namun, ini semua takkan lengkap tanpa menerima sebuah Moralprinzip, secara bersama. Sebab, setiap konflik sebelum wacana, itu akan saja berhujung pada persoalan moral juga. Bukan persoalan perasaan, bukan persoalan lain-lainnya. Bahkan, perasaan sebenarnya adalah paparan dari moral kita. Justeru, kerasionalan komunikatif tak pernah berurusan dengan perasaan, tapi dengan rasio kita, iaitu rasio komunikasi. Inilah khazanah berharga sesama manusia. Jadi, dalam menjamin sebuah komunikasi yang jerneh, kita perlu kembali pada pencarian Moralprinzip. Kata “etika” memang penting dalam falsafah Jerman, terutamanya semenjak Kant merangka sebuah “etika universal” (Universalistische Ethik).
Barangkali etika inilah, Habermas terilham dari tradisi Kant, yang masing-masing berusaha menembus falsafah etika. Tapi, sebenarnya ada beza antara Kant dan Habermas. Pada Kant, falsafah etikanya hanya bertitik-tolak pada individu, sebaleknya Habermas pada etika sosial (masyarakat). Ini garis pemisah penting antara keduanya. Lihat saja maxim yang diperkenalkan Kant, itu terang-terang saja bersifat individualistik, sementara Habermas—walaupun tak menggunakan kata maxim—sekurang-kurangnya memperkenalkan kaedah dalam menempa sebuah etika universal, yang menurutnya adalah bersifat sosial. Ini usahanya untuk mengukuhkan kerasionalan komukatif tersebut. Di samping itu, “etika universal” Kant juga pernah dikritik habis-habisan oleh Hegel, yang menurutnya membuatkan setiap individu mahu menjadi ego atau dalam bahasanya, masing-masing mahu menjadi “heroik.” Inilah yang terjelma juga dalam masyarakat Malaysia, yang hampir semuanya ego seolah-olah “tahu semua,” atau seolah-olah, “benar semua.” Lalu, kritikan Hegel ini dibenarkan Habermas, sebab tak setiap keputusan manusia harus bertanya pada naluri, seperti yang dimaksudkan Kant itu. Kita tak pernah bertanya pada naluri, “apakah kita mesti membayar cukai,” mithalnya. Sebab, cukai adalah aturan-sosial yang sudah awal-awal kita terima. Kerana itu, pada Habermas banyak urusan dalam etika sosial, yang kita terima (atau, tak terima) tanpa memakai naluri.
Pentingnya Moralprinzip kerana ini satu-satunya wilayah yang paling masuk-akal untuk diterima. Sebelum Habermas ini, tradisi etika terbingkai dalam “subjek dan objek.” Pada saat inilah, hilangnya optimisme. Dan, jauh sebelum itu, etika manusia ditentukan dalam konteks mitologi. Di tangan Habermas, Moralprinzip mula dikembangkan. Baginya, “hanya norma-norma yang dipersetujui (atau dapat dipersetujui) di kalangan peserta wacana saja yang dianggap sahih,”dan di luar itu tak harus diterima. Atas pesimisme Sekolah Frankfurt, dan monolog-nya etika Kant, Habermas mula menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk sosial. Pengkritik keras Sekolah Frankfurt ini percaya, manusia mempunyai kemampuan untuk menyusun wacana imbang, ataupun wacana tanding. Maka, tak memadai kesedaran etika individu menjadi asas dalam sebuah etika universal. Lalu, perlunya sebuah normatif yang disepakati bersama. Jadi, dengan semua ini, Habermas merangka perubahan paradigma radikal, falsafah kesedaran kepada falsafah falsafah bahasa; dari falsafah subjek kepada falsafah komunikasi.
Demikian tiga sendi dari kerasionalan komunikatif-nya Habermas. Memang, ada beberapa kelemahan dalam fikiran Habermas. Ini akan kita bicarakan jika ada perbincangan tentang ini. Juga persoalan, apakah kerasionalan komunikatif ini sebuah retorika? Terpulang. Tapi, tradisi falsafah Jerman sentiasa tersusun ketat, dan tak pernah menjadi perbicaraan lagha, macam yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini. Maka, sebagai sebuah pilihan, gagasan kerasionalan kominikatif ini barangkali harus benar-benar dipertimbangkan di Malaysia—yang terkenal sebagai sebuah negara multi-etnik. Dengan seluruh keragaman kita, seluruh perbezaaan kita, malah sub-perbezaan sekali, maka kalangan bertelingkah harus sepakat untuk menerima aturan main ini. Mari kita akui perlunya satu diskursethik, akuinya perbezaan lebenswelt, akui bahawa kita memerlukan sebuah Moralprinzip bersama. Seandainya ini ada muafakat, konflik yang timbul di antara kita akan menjadi sebuah kreativiti, sebuah kekayaan, sebuah optimisme, sebuah keindahan, dan juga tentunya sebuah saling pengertian.
Jika tidak, kita semua, akan boleh hanyut dengan tempias bodoh, remah, dan ragam polemik yang sedang melanda Malaysia ini. Bahkan, sulit untuk bertahan dalam sebuah arus pembodohan yang tak henti-henti. Atau setidaknya, kita terpaksa menemani Adorno, Horkheimer dan Marcuse, dengan segala pesimisme Sekolah Frankfurt-nya. Pasti ada yang tak menyambut, biarpun namanya Frankfurt.
Baca Lagi: