Welcome to Ummahonline.com

 

Menu
· Home
· Kisah Mereka Yang Menang
· Arkib
· Bancian
· Menilai Semula Agama
· Berkongsi keasingan
· Seni politik dan politik seni
· What liberal Hollywood ?
· Statistik
· PAS harus berubah

Total Hits
Sebanyak
521382
muka laman kami telah dikunjungi sejak 30 jan 2006

  
PAS harus berubah
Kiriman pada Monday, March 20 @ 23:07:49 MYT
Topik:
Oleh: Haris Zalkapli

Gerakan Islam di seluruh dunia, yang disebut sebagai politikal Islam dalam wacana akademik, kini berdepan cabaran yang sangat besar. Hal ini, bagi banyak pihak, bukan lagi dilihat sebagai sesuatu yang baru. Selepas Revolusi Islam di Iran pada 1979, dan kemudian selepas berakhirnya Perang Dingin antara dunia kapitalisme dan sosialisme, Islam mendapat perhatian yang sangat luar biasa.

Ramai melihat dua peristiwa besar ini sebagai punca utama Islam mendapat perhatian dunia, terutama dunia Barat, yang terus meletakkan Islam sebagai ancaman baru dunia kapitalis Barat.

Satu kelompok dalam gerakan Islam melihat Barat mula kelihatan berminat dengan Islam kerana ia telah mula menunjukkan potensi untuk menjadi pesaing kepada Barat.

Dalam pasaran bebas idea, Islam sememangnya memiliki potensi yang sangat besar. Agama ini menjadi agama paling pesat berkembang di Eropah dan benua Amerika, dan umatnya juga semakin lantang menuntut hak, selaras dengan semangat demokrasi.

Tetapi, pasaran bebas idea ini - seperti juga pasaran bebas barangan dan perkhidmatan hari ini - tidak mengenal mangsa dan belas kasihan. Produk yang tidak kompetitif akan kecundang kerana gagal mendapat tempat di arena yang luas ini.

Berikutan peristiwa 11 September, 2001, perhatian terhadap Islam meningkat dengan dramatik sekali. Pengkritik gerakan Islam mempersembahkan peristiwa ini sebagai bukti utama kegagalan gerakan Islam bersaing dalam ruang demokrasi.

Akibatnya, reformasi dalam Islam disifatkan sebagai satu agenda paling penting untuk dilaksanakan, demi membolehkan agama ini bergerak dalam dunia hari ini.

Banyak tulisan muncul membincangkan isu ini, seperti tulisan bekas pegawai CIA, Graham Fuller, The Future of Political Islam, tulisan Max Rodenbeck, Islam Confronts its Demons dalam The New York Review of Books, dan juga pemikir Muslim Britain, Ziauddin Sardar, Can Islam Change? dalam majalah The New Statesman.

Satu idea penting dalam tulisan-tulisan tersebut ialah perubahan dalam Islam. Fuller dan Rodenbeck mengemukakan bahawa dua kumpulan utama memiliki pandangan bertentangan dalam Islam, iaitu kelompok konservatif dan liberal. Rodenbeck menyimpulkan bahawa persoalannya bukan sama ada Islam akan mengalami reformasi, tetapi kelompok mana yang akan melakukannya.

Peristiwa Amina Wadud mengimamkan solat Juma'at di New York, Amerika Syarikat dan pertembungan PAS dengan Sisters in Islam di Malaysia memperlihatkan perbezaan dua pandangan dan tafsiran yang sangat berbeza.

Ia juga memperlihatkan bagaimana pihak liberal begitu konsisten dan agresif untuk membawa tafsiran baru dalam Islam.

Kerana inilah, PAS sebagai sebuah gerakan Islam terbesar di negara ini - dan berpotensi memegang tampuk pemerintahan - perlu melaksanakan satu perubahan, untuk lebih berupaya menangani realiti baru persaingan sengit dalam pasaran bebas idea, sama ada di dalam negara mahu pun di peringkat global, sebagai sebuah gerakan Islam. Dan PAS perlu menjadikan agenda ini sebagai satu agenda utama.

Sebagai sebuah gerakan Islam dan parti politik yang memiliki rekod konsisten memperjuangkan Islam dan perubahan ke arah kebaikan dalam masyarakat, PAS tidak boleh mengelak daripada memikul tanggungjawab ini.

Kelompok liberal - dan juga penentang PAS yang lain - yang sebahagian besarnya memiliki akses mudah ke media arus perdana, lebih berupaya untuk mengemukakan pandangan mereka.

Oleh itu, dari satu sudut, mereka lebih mudah mendekati masyarakat. Terbaru, sokongan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk calon naib presiden daripada kalangan muslimat diselewengkan dan tidak diperlihatkan sebagai sikap progresif ulama PAS, tetapi dikemukakan sebagai gimik politik kerana kehabisan modal.

Untuk berdepan persaingan ini, sangat penting bagi PAS menyertai dialog dunia hari ini, bercakap dalam bahasa yang difahami sebahagian besar masyarakat, dan mempersiapkan diri dengan alat intelektual baru untuk berdepan idea-idea liberal yang ekstrem.

Lebih penting, PAS perlu mendepani perubahan dalam hal melibatkan keadilan sosial, gender dan masyarakat plural yang sangat menjadi perhatian dunia hari ini.

Rata-rata, di seluruh dunia Muslim, isu gender dan kegagalan menangani masyarakat pluralistik dikemukakan sebagai kegagalan besar - kalau pun tidak kegagalan utama - gerakan Islam.

Ini tidak bermakna PAS perlu terjerumus dan terleka dalam trend intelektual hari ini, sehingga mengabaikan prinsip-prinsip perjuangan jama'ah yang telah berjaya mengemudi gerakan ini melalui jalan yang sukar selama puluhan tahun, tetapi, usaha ini akan membolehkan PAS mengemukakan produknya kepada pasaran dengan lebih yakin.

Isu gender dan masyarakat majmuk tidak boleh lagi dilihat sebagai agenda Barat untuk melemahkan Islam, kerana tradisi Islam sendiri membuktikan isu ini diperjuangkan dengan konsisten oleh Nabi Muhammad SAW.

Sejarah sendiri telah membuktikan, dua kejayaan besar Rasulullah ialah membebaskan wanita daripada budaya jahiliah dan mendamaikan masyarakat pluralistik tanah Arab pada waktu itu.

Selama ini, kelompok liberal dilihat menguasai debat berkenaan isu tersebut, sehingga kelihatan mereka memegang monopoli dalam perjuangan ke arah perubahan itu.

Isu gender, hak asasi manusia dan banyak lagi yang mendapat perhatian luas media perlu ditangani dengan agresif oleh PAS, untuk memecahkan "monopoli" kelompok liberal ke atas isu tersebut.

Perubahan ini bukan bermakna PAS termakan hasutan orientalis untuk "mereformasikan" Islam, tetapi bermakna PAS telah menyelamatkan Islam daripada tafsiran yang ekstrem, sama ada oleh pihak liberal mahu pun konservatif yang jumud.

Seperti yang disimpulkan dengan kemas oleh sarjana Muslim Amerika, Louay Safi dalam komentarnya, Women and Masjid Between Two Extremes, reformis Muslim perlu "mengemudi jalan mereka dengan tetap berada di jalan tengah, jauh daripada kecenderungan ekstremis; jauh daripada kecenderungan ekstrem konservtif yang sangat mementingkan pengekalan tradisi budaya walaupun boleh mengakibatkan penyelewengan ajaran Islam, dan ekspresi liberal ekstrem yang ingin bebas sepenuhnya daripada semua tradisi dan bergerak menuju ruang kosong tanpa petunjuk."

Hanya dengan perubahan penting ini, satu lembaran baru akan dibuka jamaah PAS.

Nota: Haris Zalkapli, wartawan dan pengamat isu antarabangsa. Menulis sebahagian besarnya tentang politik antarabangsa, tetapi turut memerhatikan budaya popular global dan interaksinya dengan politik, terutamanya Amerika Syarikat. Kolum ini (ringkas kata dari Vox Populis) cuba membawa pembaca melihat budaya popular melalui perspektif yang berbeza. Blog beliau, Politik Pop, serta dapat dihubungi menerusi, Emel : hariszalkapli@gmail.com.

[ Emel: ummahonline@yahoo.com ] [ Copyright © 2003-2007 Ummahonline.com ]
PHP-Nuke Copyright © 2004 by Francisco Burzi. This is free software, and you may redistribute it under the GPL. PHP-Nuke comes with absolutely no warranty, for details, see the license.
Page Generation: 0.05 Saat