Tidak lama sebelum isu guna kata nama Allah s.w.t., isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap Dr. Asri kerana memberi kuliah dari jemputan seorang kenalan beliau menjadi isu.
Menurut JAIS, Dr. Asri memberikan kuliah tanpa permit. Bukan saja Dr. Asri, khabarnya ada sejumlah lagi tokoh agama dilarang memberikan kuliah di Selangor kerana permit mereka tidak dikeluarkan JAIS. Hampir sama dengan isu ini, selain guna kata nama Allah s.w.t., sejumlah perkataan lain juga dilarang guna oleh bukan muslim.
Rakan saya, saudara Hasmi Hashim, seorang penulis dan aktivis budaya lekas menghidu bahawa yang ternampak dari aksi-aksi ini ialah pesta tunjuk kuasa dan keinginan untuk memonopoli tafsiran agama.
Di laman sosial seperti Facebook, ternampak ada beberapa anak muda yang galak menulis tentang autoriti dalam penyebaran ilmu Islam saat membicarakan isu-isu yang muncul. Tempelak ini diusung dengan dakwaan bahawa sang pembicara “tidak memahami epistemologi Islam”.
Jujurnya, saya tidak begitu selesa dengan mereka yang nampak seakan manusia paling tahu. Lebih buruk lagi ia kemudian ditambah dengan kata “masyarakat tidak faham” dalam pengertian bahawa mereka mesti menyerahkan hal ini kepada siapa yang disifatkan autoriti dan hanya perlu mengikut.
Sebagai seorang yang dilatih dalam bidang sains sosial, saya mahu melihat manusia dalam konteks mereka mempunyai potensi untuk tahu dan faham. Dengan perspektif ini, saya berpendapat mereka adalah sebahagian dari proses panjang untuk tahu dan faham.
Isu ini bukan baru, malah tercatat dalam pengalaman sejarah Islam malah secara lokalnya pernah berlaku di kampus semasa saya masih menuntut.
Kisahnya untuk membendung daripada tersebarnya pengaruh Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Pengetua Kolej melarang slot tazkirah dibuat; sebelum kemudian menjelaskan bahawa larangan untuk dibuat hanya kepada pelajar. Katanya, pelajar banyak cakap merapu dan tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.
Saya sebagai Setiausaha Sekretariat Kerohanian di Kolej pada waktu itu mengambil sikap berbeza. Saya bukanlah ahli PMI, tetapi saya aktif dengan Jemaah Tabligh dan kami tidak dihalang – mungkin kerana kami tidak berbicara soal politik secara langsung. InsyaAllah, jika saya dikurniakan kesihatan dan masa, saya mahu menulis pengalaman singkat saya dengan Jemaah Tabligh.
Saya berpendapat tuduhan Pengetua Kolej ini liar kerana i) tuduhannya umum, ii) beliau tidak pula solat bersama di surau, iii) saya berpendapat hadis “sampaikan dari aku walau satu ayat” jelas dan iv) tidak ada siapa di dunia ini yang waras berani mendakwa mereka sudah cukup ilmu atau paling berilmu.
Saya boleh memahami dakwaan beliau bahawa kelemahan hujah mungkin berlaku, namun untuk melarang secara mutlak bagi saya tidak adil. Justeru, saya mencadangkan beliau membuat alternatif dengan menyediakan kuliah ilmu dari ustaz dan imam dari Masjid UPM atau kalangan pensyarah. Saya juga mengatakan bahawa isu-isu umum seperti kebersihan kolej juga boleh disampaikan pelajar sebagai sebahagian maudhuk tazkirah, tanpa perlu menyentuh hal-hal yang mungkin kontroversi dan boleh dipertikaikan. Kesilapan pendakwah, dari pengalaman cetek saya ialah kerana lekas masuk ke wilayah hukum.
Yang ternampak oleh saya ialah label dan hukum ditulis sesuka hati oleh kenalan yang ada kalanya menghina golongan agama yang berbeza pandangan dengan mereka. Ironinya, mereka mendakwa kelompok seperti saya menolak autoriti. Saya tidak ada pilihan lain selain menempelak mereka untuk cermin diri bahawa para individu yang mereka tempelak itu mengabdikan diri dalam pengajian agama sejak kecil sehingga ke peringkat Sarjana sedangkan mereka tidak! Jika ada pun mungkin setakat sekolah menengah sebelum masuk ke bidang profesional di universiti.
Saya tidak memaksudkan mereka tidak layak bercakap tentang agama kerana prinsip yang saya pegang berbeza. Apa yang saya pertikaikan ialah dwi-piawai kelompok ini.
Saya tidak menolak autoriti secara mutlak. Apa yang saya usulkan ialah autoritatif hujah itu harus dilihat lebih utama berbanding autoriti manusia. Hujah saya tentu saja bersandar kepada pandangan Saidina Ali k.w. yang Nabi s.a.w. sifatkan “Jika aku gedung ilmu, Ali adalah pintunya”.
Kata Saidina Ali k.w.: “Dengar apa yang dikata, bukan lihat siapa yang berkata”.
Dengan melihat autoritatif hujah, kita harus menyediakan ruang untuk berbeza pendapat secara aman. Islam Liberal di Indonesia misalnya, ia didokong oleh sekumpulan graduan muda yang latar belakang pengajiannya bukan cetek. Itu tidak bermaksud bahawa pandangan mereka tidak perlu disaring. Prinsip saring ini terpakai kepada semua pihak atas faktor autoritatif hujah.
Ulama’ mazhab misalnya, mereka tidak berebut mengangkat pandangan mereka sebagai pandangan utama untuk dirujuk. Sebahagian mereka malah memilih penjara daripada menjadi sumber rujukan utama dalam hal ehwal masyarakat. Ini berbeza dengan tokoh yang bicara persoalan agama dalam konteks semasa. Mereka menuntut masyarakat mengikut pandangan mereka atas alasan adab! Tuntutan berbaur paksaan ini sendiri saya anggap sebagai satu tindakan tiada beradab.
Ada satu lagi tindakan buruk ditunjukkan iaitu mengharamkan buku-buku yang disifatkan sebagai memberikan faham salah tentang Islam dan boleh mengancam aqidah umat Islam. Untuk saya hal ini tidak perlu.
Saya berpendapat beberapa perkara boleh dilakukan untuk mengusung wacana agama dalam masyarakat iaitu:
(1) Kita tidak perlukan pemusatan hukum melalui institusi mufti. Apa yang kita perlu lakukan ialah membebaskan ahli agama untuk mengeluarkan pandangan mereka untuk dijadikan rujukan masyarakat. Khilaf mesti dibenarkan secara terbuka dan tidak dianggap sebagai hal yang memecah-belahkan masyarakat.
(2) Para ilmuan muslim dan mereka yang merasakan diri mereka tahu atau mahu terlibat dalam isu-isu bersabit Islam harus dibenarkan terlibat secara aman dan pandangan balas dan berimbang untuk rujukan masyarakat mesti diberi. Saya tidak bersetuju misalnya Dr. Asri menulis surat agar Faisal Tehrani dihalang menulis untuk menyebarkan idea berbaur Syiah sama seperti saya tidak bersetuju Dr. Asri dilarang menyampaikan pandangan yang didengar berbaur Wahabi. Pokoknya ialah ruang untuk hujah balas mesti dibuka untuk masyarakat menilai.
(3) Dalam era teknologi maklumat, daya tahan dan daya saring muslim mesti dibina dengan peningkatan pemahaman ilmu melalui ruang bebas, bukan dengan menutup ruang dengan apa cara sekalipun. Kehebatan umat Islam bukan dibina dengan terus menerus menanam rasa takut dan prejudis tetapi melalui penyesuaian diri dengan realiti jamak pandangan dan pendedahan kepada daya saring yang tinggi.